My Journey


Pernah bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang wanita pertama Malaysia, tetapi sangat mencintai dan ingin mendalami ilmu biologi, namun pernah dipanggil untuk menyahut cabaran dalam bidang seni bina walaubagaimanapun telah ditakdirkan menyambung kehidupan sebagai mahasiswi kejuruteraan elektrik-elektronik ketika ini.
[3rd year survivor of electrical & electronic engineering student]

Instagram

Friday, May 12, 2017

Wanita Hebat


Kali pertama aku mengenali dia
pada tanggal 13 September tahun 1995,
Namun dia telah mengenali ku
9 bulan lebih awal dari tarikh itu.

Malam ini izinkan aku menceritakan
segala yang hebat tentang dia,
kerana aku mahu dunia tahu
super hero itu memang benar-benar wujud

dia adalah guru pertama aku,
untuk setiap kali pertama cubaan aku
dalam mengenali dunia ini,
dia sentiasa ada bersama aku.

kali pertama aku mengerakkan tubuh ku,
kali pertama aku mengangkat punggung,
kali pertama aku mulai duduk,
kali pertama aku berdiri teguh,
kali pertama aku menapak langkah,
kali pertama aku memanggilnya,
kali pertama aku mulai menyebut,
kali pertama aku pandai menguyah,
kali pertama aku belajar mengeja,
kali pertama aku belajar mengira,
kali pertama buat setiap perkara
dia sentiasa ada bersama aku.

dia adalah jururawat yang sentiasa menjaga aku,
sakit deman aku sentiasa menjadi kerisauannya,
dia sentiasa ada bersama aku.

dia adalah jurutera pertama dalam hidup aku,
tanpa dia aku masih tidak tahu bagaimana menyelesaikan masalah hidup.

dia adalah arkitek yang sentiasa mencorak dan membina semangat aku,
tanpa dia hidup aku barangkali tidak seindah ini.

meskipun dia bukan siapa-siapa dimata dunia,
tetapi dia amat istimewa dimata ku.

meskipun dia tidak belajar tinggi,
tidak juga punya degree,
tidak juga miliki kerjaya sendiri,
tetapi dia amat istimewa dihati ku.

dia hanya gadis biasa yang tinggal di kampung,
yang membesarkan lima orang adik-adiknya,
yang menjaga seorang kakak istimewa,
yang menguruskan makan minum orang tuanya,
dari sekecil usia dia sudah berjasa
dari sekecil usia dia sudah berdikari
aku yakin itu semua tidak mudah
justeru itu, aku merasa dia amat istimewa.

hidup dari zaman kanak hingga remaja hingga dewasa,
hidupnya diabdikan untuk berjasa,
penat lelah, jatuh bangun, susah senang,
segala asam garam dunia telah banyak dia rasa,
dari kulit semulus bayi, tubuh setegap pemuda,
kini usianya telah melangkaui separuh abad.

kulitnya tidak lagi semulus dahulu,
tulangnya tidak seteguh dahulu,
namun, cintanya, perhatiannya, kasih sayangnya,
tidak pernah berubah,
tidak pernah berkurang,
tidak juga berlobang,
masih sempurna seperti dahulu.

masih lagi aku ingat,
dahulu diusia remaja aku,
betapa aku sangat memberontak,
betapa aku sangat kurang ajar,
betapa aku sangat bongkak,
betapa aku sangat tidak sabar,
betapa aku sangat dangkal,
betapa aku sangat tidak matang

aku telah banyak menyakiti dia,
aku telah banyak melukai hatinya,
aku telah banyak meleraikan air matanya.

namun, disetiap malam yang malap
kerap kali dia bangun bertahajud
memunajatkan doanya buat aku
mengharapkan keselamatan aku
mengharapkan kebaikan buat aku
mengharapkan kesejahteraan buat aku,
mengharapkan kedekatan aku pada penciptaku.

disaat aku pernah merasa aku tidak memerlukannya disisi ku,
tanpa aku tahu
kerana dia dan doa-doanya aku masih terus ada disini,
dapat merasai nikmat-nikmat yang dipinjamkan ilahi

disaat aku pernah merasa untuk jauh darinya,
tanpa aku sedar
kerana dia dan doa-doanya aku semakin dekat dengan tuhanku
apakah yang lebih hebat dari nikmat ini?

aku akui ketika aku mula benar-benar mengenal tuhanku,
itulah permulaan aku mengenali sisi wanita hebat itu,
dia ialah ibuku.

dan disaat aku belajar duduk berjauhan darinya,
itulah kali pertama aku mengerti
betapa pentingnya dia dan doa-doanya

dikala berjauhan ini,
setiap kata-katanya,
suaranya,
amat bererti buat aku.

dikala diluar sana,
seorang gadis mendambakan seorang pria,
buat aku, sudah cukuplah ibuku ada disisku.
aku masih dimanjakan setiap kali aku pulang ke rumah,
aku masih dibelai setiap kali aku meletakkan kepala aku dipangkuan ibuku
aku masih diberi perhatian yang cukup
setiap kali aku memerlukannya.

justeru aku sangat bersyukur mempunyai seorang ibu
yang tidak mempunyai degree dan kerjaya sendiri,
selain daripada degree dalam mendidik anak-anak
dan kerjaya mendewasakan anak-anak.

Ibu, kau wanita hebat!

aku mahu kau tahu,
ibu, dirimu amat penting buatku.
doa mu adalah nyawa ku,
terima kasih kerana sudah mendewasakan anakmu
terima kasih kerana memilih untuk sabar dan tabah
terima kasih kerana tetap setia
terima kasih ibu,
terima kasih
kerana sudi menjadi ibuku

Ibu adalah wanita terhebat didunia ini.
Moga syurga tertinggi buatmu
Moga keselamatan dunia dan akhir dijaminkan buatmu
Moga kemudahan sentiasa mengiringi mu
Moga kesihatan yang baik dianugerahkan padamu

Akak sayang Ibu!
*peluk dari jauh*

Love,
AH


Happy mothers day for all women out there!
You are the most special creature ever exists in this world.
Stay powerful, ya mommies.


No comments: